KUALA LUMPUR - Video seorang lelaki merompak dua wanita dengan
bersenjatakan parang di depan pondok pengawal keselamatan, viral di
media sosial, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.40 pagi menunjukkan mangsa yang
memandu kereta Perodua Myvi, cuba melarikan diri ke dalam kawasan
perumahan tersebut. Namun terhalang apabila pengawal keselamatan yang
bertugas enggan membenarkan mereka masuk kerana kedua-dua mangsa bukan
penduduk di situ.
Di kesempatan itu, suspek yang memandu kereta Honda Accord tahun 1994,
keluar dari kereta dan menghampiri kereta mangsa, lalu menghunuskan
parang ke dalam kereta di depan pondok pengawal. Suspek memberi amaran
agar pengawal keselamatan agar tidak campur tangan.
Panik dengan keadaan itu, kedua-dua mangsa keluar dan lari dari kereta.
Namun salah seorang mangsa dikejar oleh suspek yang kemudian merampas
beg tangannya sebelum melarikan diri.
Gara-gara terlalu panik, mangsa terlupa menarik brek tangan menyebabkan
keretanya merempuh palang pos kawalan sehingga bengkok sebelum melanggar
sebuah lagi kereta yang diparkirkan di bahu jalan.
Difahamkan, mangsa telah diekori oleh suspek sebelum kejadian itu berlaku.
Sementara itu di media sosial, tersebar luahan seorang lelaki yang dipercayai abang kepada suspek.
"Assalamualaikum and hello everyone. Untuk orang Islam, mati itu pasti,
barzah itu pasti dan lebih menakutkan masyar itu pasti. Sebelum saya
berada di masyar untuk menjelaskan perkara di atas, saya memohon jutaan
maaf atau ada bahasa yang lebih tinggi dari itu saya ingin gunakan untuk
memohon maaf kepada semua terutama sekali kepada mangsa di atas
kegagalan saya memberi didikan yang sempurna untuk adik saya di dunia
dan akhirat kerana gambar dan video di atas, 99% adalah adik kesayangan
saya.
"Pada yang mengenali mangsa, boleh sampaikan kepada mangsa untuk
menuntut ganti rugi dari saya dengan menghubungi saya melalui Facebook.
"Walaupun saya tahu ia tidak setimpal dengan apa yang terjadi, maafkan
saya sekali lagi. Saya memohon agar sahabat-sahabat semua mendoakan agar
adik saya peroleh hidayah (Hidayah milik Allah) dan menjadi manusia
yang lebih baik di masa hadapan," katanya.
Difahamkan, kereta yang digunakan oleh suspek telah ditemui. - The Reporter
0 Response to " 'Maaf, Saya Gagal Beri Didikan Sempurna Untuk Adik Saya' - Abang Suspek "
Post a Comment